Salam Aidilfitri Buat Semua Peminat Sukan

Oktober 4, 2008

Sebelum berbicara panjang saya ingin memohon maaf di atas penangguhan blog ini buat sementara waktu dek kesibukkan kerja di bulan Ramadhan, selain itu tidak banyak aktiviti sukan yang dijalankan di dalam negara.

Hari ini masuk hari kelima umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Aidilfitri, tidak terlambat rasanya untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin kepada semua jika sepanjang blog ini diterbitkan ada yang terasa, tersinggung dan sebagainya.

InsyaAllah jika tiada aral melintang pelbagai artikel akan diterbitkan dari masa ke samasa dan di atas permintaan dan pandangan dari beberapa pihak saya akan cuba berkongsi dengan peminat blog yang lain serta mengupas isu sukan di dalam mahupun luar lebih terperinci.

Alhamdulillah raya tahun ini juga disambut meriah, tetapi dalam keadaan sederhana (ayat biasa tiap-tiap tahun), tempoh cuti yang diberikan iaitu selama enam hari digunakan sepenuhnya untuk bersama keluarga tercinta di kampung halaman di Perlis.

Akhir kata Selamat Hari Raya sekali lagi

SEPAK MULA: SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI


Sibuk, Olimpik memang sibuk

Ogos 30, 2008

Aku mulakan catatan ini dengan seribu kemaafan, bukannya apa tangan yang dikurniakan untuk menaip blog ini tidak mampu untuk mengatasi kesibukan dan kepenatan sepanjang Sukan Olimpik Beijing 2008. Atas sebab itulah aku tidak mampu untuk memperbaharui topik blog aku sendiri.

Maaf sekali lagi, apa pun aku kembali dengan membawa episod sukan dan duka sewaktu Olimpik, tetapi molek rasanya biar aku sentuh dahulu pengalaman kerjaku semasa temasya sukan terbesar di dunia itu. Sebelum ini aku hanya bangun pagi dan membelek akhbar untuk mengetahui keputusan atlet negara semasa di Olimpik tetapi kali ini aku sendiri yang merasai bagaimana tugas seorang wartawan sukan menyediakan bahan untuk tatapan seluruh rakyat Malaysia.

Tidak ada apa yang mengejutkan aku atau membuatkan aku menjadi gelabah semasa Olimpik berlangsung, tugasnya mudah menterjermah beberapa berita dari agensi antarabangsa dan sedia untuk ditatap oleh pembaca keesokan harinya, tetapi berita mengenai atlet negara perlu diberi perhatian yang lebih khusus.

Rasa malas pulak aku hendak sentuh mengenai tugas aku semasa Olimpik, tetapi realitinya memang penat kerana perlu bekerja sehingga lewat malam dan bermula di awal pagi. Bagaimanapun itu satu pengalaman yang berguna bagi aku menyediakan bahan Olimpik untuk tatapan peminat sukan tanah air.

Aku tidak menolak kemudahan IT banyak membantu wartawan zaman sekarang, buka laman web rasmi Olimpik segala keputusan, jadual dan pungutan pingat semuanya sudah tersedia, malah hendak mengetahui keputusan atlet sedang beraksi juga boleh diperolehi dengan mudah.

Bagi wartawan seperti aku ia mudah untuk menjadi rujukan untuk bahan pemberitaan tetapi bagi bos-bos aku dipihak atasan pula mungkin mereka pening kepala sebabnya orang ramai tidak memerlukan suratkhabar lagi untuk mengetahui keputusan sebaliknya hanya menekan kekunci atau menggerakkan tetikus semuanya sudah tersedia di hadapan monitor.

Walau apa pun aku sudah berusaha sedaya upaya untuk memberikan cerita, kupasan dan ragam yang menarik kepada pembaca sukan akhbar Utusan Malaysia. Hendak aku selitkan di sini memang kemeriahan Sukan Olimpik Beijing kali ini menyentuh jiwa aku sebagai seorang yang keras untuk mengkagumi sesuatu yang abstrak, ini kerana pembukaan rasmi temasya itu membuatkan aku terpaku dek kehebatan China serta rakyatnya memberikan persembahan yang bertaraf antarabangsa unik.

SEPAK MULA: Harap Olimpik 2012 di London tidak kurang hebatnya


Sedih tengok pemain import sedih

Ogos 14, 2008

Sudah keputusan muktamad tiada lagi kelibat pemain import musim depan dan semua peminat bola sepak akan merindui nama-nama seperti Marlon Alex James, Frank Seator, Philimon Chipeta dan beberapa lagi nama lain. Bagi aku keputusan ini harus diterima dengan hati yang terbuka oleh semua orang dan sama-sama kita nantikan aksi pemain tempatan SAHAJA musim depan sama ada mereka mampu menunjukkan aksi mantap atau tidak.

Bagaimanapun aku sempat diberi peluang untuk menemubual beberapa pemain import dalam perlawanan suku akhir pertama pertemuan Selangor menentang PDRM di Stadium Shah Alam baru-baru ini, semuanya atas arahan bos aku sendiri yang mahukan komen dari pemain import. Seawal jam enam petang aku sudah bergerak dari pejabat aku yang terletak di Jalan Chan Sow Lin menuju ke Shah Alam, hehehehe tempat kediaman aku sendiri.

Dalam perjalanan di federal highway itu aku mula terbayangkan macam-macam sama ada pertanyaan aku ini akan dilayan atau mereka tidak mahu memberikan sebarang komen, selepas hampir sejam tersangkut di dalam jammed aku tiba di perkarangan hotel Charlton yang terletak di Seksyen 15, di situlah semua pemain Selangor berkumpul sebelum mereka menaiki bas dan menuju ke stadium, disebabkan aku terlewat dan rata-rata pemain sudah berada di dalam bas, aku menjadi panik sama ada aku sempat untuk menemubual Seator, Chisulo mahupu Elie.

Tetapi nasib aku baik Elie masih belum naik bas dan aku rasa dia baru sahaja sampai, aku dengan selamba menghampiri Elie dan mendapatkan komen darinya tentang pengharaman pemain import untuk musim depan, dari riak wajahnya aku tahu Elie kecewa dengan keputusan tersebut tetapi dia menerima seadanya di atas status pemain profesional. Elie menjelaskan dia terpaksa akur dengan keputusan tersebut dan akan menyambung kariernya di tempat kelahirannya sendiri di Indonesia.

Aku berasa lega dapat menemuramah Elie walaupun selama dua hingga tiga minit, sekurang-kurangnya aku tidak pulang dengan tangan kosong pantang kalau bos tahu wartawan pulang dengan tangan kosong. Selepas itu aku cepat-cepat mendapatkan kereta aku semula, supaya aku tiba dahulu ke stadium dan mampu untuk menangkap Seator dan Chisulo selepas mereka turun dari bas nanti. Memang aku yang sampai dahulu, selepas memastikan semua barang tidak tertinggal aku terus meluru ke pintu masuk VIP laluan utama pemain ke bilik persalinan.

Selepas bas Selangor FA tiba aku dengan selamba menunggu seorang demi seorang pemain turun, sasaran aku ialah Seator dahulu lepas tu baru Chisulo, aku berjaya MENANGKAP Seator dan menanyakan komen tentang pengharaman pemain import, ternyata Seator amat tidak berpuas hati dan sedih dengan keputusan tersebut. Berbanding Elie yang agak lembut memberi komen Seator lebih agresif dan jujur. Dia menjangkakan keputusan ini tidak akan kekal lama paling kurang 2 tahun, dia juga menjelaskan ini akan menyebabkan bola sepak tempatan akan bertambah merudum.

Aku puji Seator di atas kesudiannya memberi komen dan cara dia menjawab juga pemain begitu profesional (pemain import tulen). Selepas selesai menemuramah Seator aku cuba mencari Chisulo tetapi dia sudah masuk ke bilik persalinan, tetapi bagi aku dua orang memberi komen sudah berbaloi. Bagaimanapun aku tidak cepat berpuas-hati aku perlu mendapatkan seorang lagi pemain import tetapi kali ini biar dari pasukan PDRM pula.

Selepas melihat mereka duduk bersantai di bangku pemain simpanan sementara menanti matahari terbenam aku cuba jenguk-jenguk manalah tahu ada kelibat pemain import Echesa dan Noh Alam Shah. Tetapi aku tidak nampak kelibat pemain itu (spek pun tak pakai macam mana nak nampak). Aku menanti mereka masuk ke bilik persalinan, sehinggalah ketua pasukan mereka Sanjos Sundawat melintasi aku. Tanpa perasaan malu aku memanggilnya macam sudah lama kenal, nasib baik mamat ni layan. Aku tanya dia pasal Echesa dan Alam Shah.

Sanjos dengan selamba pula suruh aku menunggu di luar sambil dia cuba untuk memanggil mereka, sekali lagi aku berasa lega kerana misi aku ini lebih dari berjaya kalau Echesa dan Alam Shah dapat memberi komen ia sudah cukup untuk membuatkan bos aku tersenyum riang (rasanya la). Keluar kelibat pemain tegap bertuala, kalau badan warna sawo matang sudah tentu la Noh Alam Shah sebab aku tidak pernah tengok mamat Singapura ini.

Pengajaran juga bagi aku hari itu, kerana sebelum ini aku menyangkakan semua pemain import dan rakyat dari Singapura sombong, tetapi Noh Alam Shah bukan seperti yang aku sangkakan, dia seorang yang peramah, tidak meninggi diri dan sopan (dari segi dia menjawab soalan la). Seperti juga Elie dan Seator, Noh Alam juga kecewa bercampur sedih. Manakan tidak dia baru sahaja bermain untuk PDRM tidak sampai lima perlawanan.

Noh Alam juga seperti Seator, agak kurang berpuas hati dengan keputusan tersebut dan menyatakan berkemungkinan keputusan itu akan menyebabkan kemajuan bola nergara akan terus merudum. Selepas aku mengambil segala komen dari Noh Alam aku terus naik ke tempat media dan menaip story secepat mungkin sebelum perlawanan bermula. Apabila story 10 para sudah siap aku terus hantar ke ofis menggunakan remote sambil komen-komen tadi masih terngiang-ngiang di dalam fikiran, ternyata pemain import sangat sedih dan kecewa dengan keputusan FAM.

SEPAK MULA: Lagi sedih tengok perlawanan SUKU AKHIR Piala Malaysia tidak mendapat sambutan.


Lagu asli tetap dihati

Ogos 7, 2008

Aku memang peminat sejati lagu-lagu rock sejak dari zaman sekolah menengah lagi, tidak kira la genre rock klasik ker, rock moden, metal, symphony metal, gothic, dan pelbagai lagi janji iramanya keras serta mempunyai alunan gitar yang melodic akan menjadi pilihan hatiku. Kumpulan seperti Metallica, Amon Amarth, Children of Bodom, Kristal, Nightwish, Iron Maiden serta senangkatan dengannya menjadi koleksi mp3 aku. Memang orang kata aku ni rock sejati la kecuali aku tak beberapa gemar sangat dengan irama punk rock yang bagi aku lagu mereka agak hentam kromo.

Bagaimanapun sekeras-keras aku ni dan seganas-ganas aku ni, irama asli tetap menjadi pilihan sekali-sekala tidak sekerap irama rock la. Keadaan ini berlaku selepas aku menonton af (bukan peminat tegar), masa tu budak af yang pandai menyanyi lagu asli tu apa namanya??? ishhh lupa pulak, haaa Haziq. Nyanyian dia persis bintang asli yang dulu walaupun dia muda, pastu aku start kerja Utusan Malaysia naik kereta company driver memang akan buka klasik nasional, terpaut aku buat kali kedua. Then aku terus meminati irama ini secara tidak serius, tetapi melekat di hati aku sampai bila-bila. Kadang-kadang masa naik kereta aku dengar juga klasik nasional, entah bagi aku irama dan lirik lagu dulu-dulu ni sedap serta berkhasiat sungguh,

Kebetulan masa-masa persaraan Ketua Pengarang aku baru-baru ni, diaorang ada pasang lagu Ahmad Jais, Setahun Budi Segunung Intang, perghhh memang melekat lagu ni sampai sekaang dalam jiwa aku. Lagu tu antara lagu asli favourite aku, selain tu ada jugak la lagu-lagu lain yang ayat-ayatnya sungguh berkualiti ditambah dengan melodi yang cukup klasik. Bukan macam lagu sekarang terangguk-angguk tergeleng-geleng tah apa-apa aku pun tak gaham. Lirik buat tangkap muat jer, biarlah apa orang hendak kata aku kolot ka, ketinggalan zama ka, tapi lirik dan melodinya tidak sekuat lagu rock dan asli.

Bukan hendak kutuk lagu hip hop dan pop moden tetapi hakikatnya memang betul yang apa aku katakan, kalau tak percaya cuba korang kaji betul-betul. Pernah sekali masa pergi karaoke jamban aku try nyanyi lagu Ahmad Jais tu, best jugak layan lagu ni. Aku tak tahu la orang lain tapi bagi aku artis dan lagu-lagu zaman dahulu memang boleh maintain kesedapannya sampai sekarang dan perlu dipelihara agar tidak dirosakkan begitu sahaja.

Klasik Nasional teruslah perjuangkan lagu klasik, bukan sahaja orang-orang lama yang meminati lagu ni tetapi orang-orang muda pun masih ada yang mendengar dan memperjuangkan lagu ini. Kalau tak salah aku radio klasik ini adalah antara radio top3 di Malaysia selepas era dan hot fm. Bukan hendak berkempen atau hendak memaksa kepada mereka yang terus mendengar lagu asli baik keroncong, zapin dan sebagainya teruslah mendengar dan kepada generasi baru pula marilah sama-sama membantu mempopularkan lagu-lagu asli ini agar tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas (betul tak pepatah aku ni).

SEPAK MULA: Terkejut tengok sesetengah DJ Klasik Nasional muda-muda belaka.


Retak sana lubang sini

Ogos 7, 2008

 Gambar front page Utusan Malaysia.

Penghijrahan aku ke kotaraya adalah untuk mencari rezeki dan kehidupan yang selesa, maksud aku selesa ini dari segi semua perkara la, tidak kira tempat penginapan, kemudahan dan persekitaran. Tetapi cerah yang aku sangkakan akan sampai ke petang, gula yang aku sangkakan akan manis sampai ke pagi dan selipar jepun yang akan tidak haus sampai ke 68 hari rupanya tidak berlaku. Apatah lagi aku yang menetap di bandaraya Shah Alam ini merasakan kehidupan di sini akan selesa buat selamanya.

Tetapi tidak, tidak sama sekali bukan aku tak bersyukur tetapi hakikatnya aku perlu mengeluh, Ahad lepas negara sekali lagi digemparkan dengan MRR2 retak, deyyyyy itu MRR2 bila mau selesai ayoyo. Tu benda yang besar gajah kalau benda yang kecil-kecil macam jalan berlubang, longkang takder pagar, terowong motor tander lampu, hendak biarkan begitu sahaja. Susah mcam ni kata ibu negara dan bandaraya tetapi tarafnya tak sepadan langsung

Pengalaman aku la yang dari 2004 hingga sekarang bermain di sekitar Shah Alam dan Kuala Lumpur ini memang cukup banyak motor Suzuki RG aku tu kalau dia boleh bercakap mampus la kena maki MBSA dengan DBKL serta JKR, bawa slow masuk lubang bawa laju pun masuk lubang, kalau sekecil-kecil anak takpa jugak ni sebesar-besar bawa rim confirm la dah bengkok kawan. Kita tunggu dan lihat la apa tindakan pasal MRR2 selepas ini.

Memang berbeza la kalau hendak dibandingkan keadaan jalan di kampung aku Kangar dengan di sini, mungkin kampung aku tak banyak lori kot. Tetapi yang aku hairannya di sini, malam ni tar baru esok dah retak, malam ni pasang lampu esok dah tak pasang, pasal apa boleh jadi macam ni tolong jawab sikit pihak yang berkenaan. Atau ada berlakunya amalan rasuah, bukan hendak tudauh kan tapi mana la tau…hehhehe. So sekarang aku sudah tidak hairan lagi tengok lubang di tengah-tengah banda KL ini semua sebagai hiasan indah untuk menyambut tetamu asing yang datang, buat bangunan tinggi-tinggi melangit lagi penting dari membaiki lubang yang sekangkang kera.

Hal retak, lubang, gelap dan licin ini takkan berakhir kalau pihak yang berkenaan dok relax goyang kaki tunggu income haram masuk, so aku nasihatkan pada semua anak perantauan yang mencari rezeki dan ilmu di sini sentiasalah berhati-hati jangan sampai punca kemalangan nanti adalah disebabkan oleh kemudahan dan prasarana yang kurang selamat. Bawa awek pun biar pakai rim original nanti masuk lubang tak patah n xcident. heheheh (mengarut sikit bolehkan)

SEPAK MULA: Musim pilihanraya lagi best dapat tar baru. Rumah flat seksyen 19 pun cat baru.


Tahniah Perlis dan Kedah

Ogos 3, 2008

Gembira aku melihat kejayaan dua pasukan bola sepak yang aku sokong sejak kecil lagi Perlis dan Kedah layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia kelmarin. Anak utara di perantauan ini akan tetap bersama kedua-dua pasukan yang digelar adik-beradik ini sehingga kempen Piala Malaysia tamat.

Tetapi ada masalah sikit la kalau dua-dua dapat masuk final Piala Malaysia aku terpaksa menerima hakikat menyokong negeri kelahiran aku sendiri, Singa Utara tetapi kalau Kedah menang perasaan kecewa tidak akan menyelubungi perasaan aku.

Bagaimanpun tahun depan tidak ada lagi kelibat pemain import seperti Marlon Alex James, Chipeta, Sam Martin, Seator, Elie Aiboy, Ceceres dan ramai lagi. Keputusan telah dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tidak membenarkan lagi pengambilan pemain import mulai tahun depan.

Bagi aku keputusan ini ada pro dan kontra selepas aku menelefon beberapa orang pemain dan jurulatih petang tadi rata-ratanya mempunyai pendapat yang tersendiri. Ada yang kata ketiadaan pemain import menyebabkan liga Malaysia tidak meriah dan ada kata ini perkembangan bagus untuk pemain tempatan menonjol.

First tadi aku call Azraai, lama jugak la tak jumpa coach Kedah ni face tu face asyik telefon jaa, katanya Marlon tetap bersemangat walaupun mengetahui tiada lagi kelibatnya musim depan siap jaring hatrick lagi lawan Johor FC, dia puji sikap profesional Marlon. Nampaknya Kedah musim depan akan mengerah habis la pemain tempatan tetapi bagi aku mereka tidak ada masalah walaupun tanpa pemain import.

Selepas itu aku call Irfan pula, aku sempat jumpa dia kat Stadium Utama Kangar pasal balik cuti bulan lepas, Irfan tak bengang dengan keputusan tersebut tetapi sikit terkilan la sebab pengumuman terlalu awal sedangkan Piala Malaysia masih lagi berlangsung, sudah tentu pemain import yang ada sekarang tertekan sebab tidak tahu hendak cari makan dekat mana musim depan. Kata Irfan pengumuman tersebut patut hold dahulu selepas Piala Malaysia tamat

Then aku call player seperti Azlan Zainal, Ahmad Shahrul, Akmal, Bunyamin dan Hairuddin kebanyakkannya bersetuju kalau tidak pakai pemain import kecuali Ahmad Shahrul yang tidak setuju, walau apa pun tu pandangan masing-masing bagi aku 50-50.

 SEPAK MULA: Teringat kelibat pemain import zaman 90 an, Jan Janostak, Tibor Szaban, Abdulaev Rustam, Tarchbanov Bourgandin, Emile Mbouh-Mbouh.


Seram sejuk Olimpik

Ogos 3, 2008

Kenapa tajuk aku lain macam? bukan apa semakin dekat Olimpik hendak start aku rasa seram semacam jer, macam aku pulak hendak bertanding. Tiada kena mengena dengan tugas aku yang semakin sukar menjelang Olimpik tetapi atlet yang aku jumpa dan aku call semakin bersemangat dan dari percakapan dengan mereka aku boleh menilai sendiri siapa yang akan berjaya di sana nanti.

Ini cuma andaian aku sahaja la, maknanya dari persepsi aku sendiri mengenai perkembangan mereka dan semangat yang ditunjukkan sejak akhir-akhir ini bagi mereka yang terasa atau yang ada hubung kait dengan atlet-atlet ini aku minta maaf siap-siap kalau artikel sedikit menyinggung. Aku akan olah seorang demi seorang dari 33 atlet yang ke Beijing, sekali lagi aku ulang ini cuma andaian sahaja.

Kita mulakan dengan trio memanah, Cheng, Khalmizan dan Marbawi sudah membuktikan kehebatan di Sukan SEA 2007 selepas menang pingat emas. Tetapi bagi aku diarorang ni sukar la untuk membuat kejutan di Beijing nanti kerana pingat emas sudah tentu pemanah Korea Selatan akan bolot. Berdasarkan fakta pemilihan pemanah Korea Selatan untuk mewakili negara melibatkan 70 pemanah sedangkan Malaysia 10 orang sahaja. Bagaimanapun aku yakin mereka boleh bawa pulang pingat Perak atau Gangsa. Mengikut pertemuan lalu mereka pernah menewaskan pemanah dari Korea dan negara hebat dari Eropah.

Terjun, ermm sukar dan memang cukup sukar untuk memenangi pingat tetapi kalau mereka dapat melayakkan diri ke pusingan separuh akhir itu sudah merupakan kejayaan yang tidak terhingga buat mereka. Bryan Nickson, Mun Yee (cun giler amoi ni), Pandelela dan Elizabeth memang cukup gah di rantau Asia Tenggara tetapi apabila bertanding di peringkat dunia seperti Olimpik sukar bagi mereka untuk bersaing. Bryan dan Mun Yee sudah pernah beraksi di Olimpik mungkin sasaran mereka untuk melayakkan diri ke separuh akhir akan tercapai, tetapi bagi atlet muda seperti Pandelela 15 dan Elizabeth 16 ini adalah pendedahan terbaik untuk mereka maju pada masa akan datang.

Daniel Bego, Siow Yi Ting, Khoo Chai Lin, Liw Yih Wey dan Leong Chi Liin akan turun ke kolam di Beijing nanti untuk acara renang seperti yang diketahui ramai dan secara realistik mereka masih jauh lagi untuk memberi saingan dengan pakar renangs seperti dari Amerika Syarikat, Eropah dan Australia. Tetapi dari pengalaman aku menemuramah mereka memang setiap seorang bersemangat untuk membawa cabaran negara di sana.

Cabaran dalam olahraga pula terletak di bahu Hup Wei, Linda dan Yu Fang masing-masing mempunyai cita-cita untuk layak sehingga ke peringkat akhir dan aku yakin sangat la Linda dan Hup Wei boleh layak sampai ke tahap tu sebab dua-dua merupakan jaguh di rantau Asia, tetapi untuk Linda hendak bawa pulang pingat agak sukar sikit la, mana tak jaguh lompat galah dunia Isinbayeva dah lebih 20 kali pecah rekod dunia. Hup Wei pula kalau dia dapat peak dekat sana sekurang-kurangnya dapat bawa balik pingat gangsa. Yu Fang aku rasa boleh bawa pingat tetapi setakat gangsa juga sebab pelari dari China negara kelahiran dia handal-handal belaka.

Badminton, tidak payah cakap banyak di sini sejarah akan tercatat atlet pertama yang akan membawa pulang pingat emas untuk negara. Jangan terkejut kerana sasaran aku untuk menang pingat dari pasangan beregu negara Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong, biarlah apa orang hendak cakap pasal prestasi mereka sekarang ini tetapi aku yakin mereka akan peak di Beijing. Chong Wei agak sukar untuk tewaskan Lin Dan di gelanggang sendiri tetapi kalau Chong Wei boleh maintain macam prestasi sekarang satu lagi pingat emas untuk negara. Tan Fook-Wan Wah, Mew Choo, Eee Hui (awek aku ni hehehe) dan Pei Ty sukar sikit la tapi boleh buat kejutan dapat pingat gangsa.

Geng basikal ada pingat dan tidak terlalu mengejutkan kalau aku cakap pingat emas, satu lagi RM1 juta akan melayang. Strategi yang terbaik boleh dilakukan oleh Josiah dan Azizulhasni dalam acara kirin, kalau kat Athens 4 tahun lalu Josiah seorang sahaja kali ini haa ada dua orang. Apa lagi boleh buat strategi mantap dan aku rasa la Josiah akan peak kat sana walaupun sekarang ini prestasi dia terumbang-ambing, Azizulhasni jangan gementar pulak buat macam biasa kan dah taraf jaguh Asia sekarang ini. Rizal dan Edrus mungkin akan memperbaiki rekod kebangsaan dan usaha yang gigih mampu untuk menghadiahkan pingat gangsa untuk mereka.

Pelayaran yang digalas oleh Dr. Kelvim, menembak Hasli dan angkat berat Amirul Hamizan sukar untuk membawa pulang pingat tetapi mencatat rekod kebangsaan baru satu kejayaan bermakna buat mereka. Akhir sekali dua jaguh taekwando Elaine dan So Sian boleh membawa pulang pingat kalau jadual perlawanan memihak kepada mereka. Elaine atlet last yang aku call dia memang bersemangat dan yakin untuk mengegar di sana. Come on Elaine buktikan kehebatan.

SEPAK MULA: SELAMAT BERJUANG WIRA DAN WIRAWATI NEGARA!!!


Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.